Kelmarin saya terima email dari Sdr Adi Setia saperti saya re-post dibawah.Setelah membacanya,saya dapati ia amat menarik untuk kita renung bersama dan saya mendapat izin dari Adi Setia untuk re-post disini untuk pelawat/pembaca blog saya.Saya ucapankan ribuan terima kasih kepada Sdr Adi Setia kerana memberi izin.Semua komen dialu-alukan.//The Reader.
Di Mana Bestarinya Sekolah Bestari?
“Seperti hutan belantara yang telah luput daripada bumi dan ingatan kita,
maka begitulah juga akan luputnya pelbagai cara pemikiran kita.” Begitulah
luahan perasaan Jerry Mander yang sangsi sejak tahun 1991 lagi terhadap
pencerobohan komputer ke dalam bilik-bilik darjah di Amerika. Melalui
propaganda perniagaan licik yang dilakukan oleh syarikat-syarikat gergasi
komputer seperti Apple dan Microsoft, kini pemahaman kita mengenai hakikat
pendidikan sebenar terbatas kepada hanya apa yang serasi dengan budaya
korporat. Justeru itu pendidikan menjadi komoditi yang harus diperniagakan
sebagaimana kereta dan minyak demi kerana prinsip “ekonomi ilmu.” Kalau
tidak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, maka bukan ilmu.
Sepuluh tahun kemudian budaya komputer berjaya menyerap ke dalam hampir
setiap sekolah di dunia, termasuk di Malaysia dengan konsep
“sekolah bestari”-nya, sehingga kita lupa bertanya, “Adakah kita hendak
serasikan komputer dengan pendidikan atau serasikan pendidikan dengan
komputer?” Saban hari para pendidik dikunjungi tetamu tidak diundang
berupa jurujual syarikat komputer dengan pelbagai peralatan dan perisian
komputer untuk membestarikan sekolah yang masih belum bestari. Maka
sesuatu sekolah itu jadi bestari kerana pelbagai kemudahan komputer atau
teknologi maklumat yang mahal-mahal lagi serba terkini, bukan kerana
akal budi yang dimiliki guru dan murid. Jelas budaya komputer telah membawa
kekeliruan kepada pengertian bestari itu sendiri lalu kepada pengertian
kepintaran, keberdayaciptaan dan pendidikan.
Akibatnya, banyak perbelanjaan terpaksa dikorbankan demi pembestarian
sekolah, sehingga mengabaikan soal tatasusila hubungan guru-murid,
pembelian buku bermutu bagi perpustakaan, saiz kelas yang lebih kecil
serta ganjaran kewangan yang lebih baik bagi guru, di samping suasana
persekitaran sekolah yang lebih lapang, tenteram dan selesa. Malah
pengabaian terhadap mata-pelajaran yang benar-benar membina sifat
berdayacipta juga berlaku, seperti sejarah, bahasa, penulisan dan
karangan, kesusasteraan, kraftangan, termasuk “field-trips” atau lawatan
sambil belajar yang galakkan pelajar turun padang menilai keadaan sebenar
di alam nyata dengan kesemua anugerah inderawi dan gerak-geri badan
mereka.
Dalam buku Mind, Brain and Computers, Stanley Jaki mengingatkan kita
bahawa para perintis teknologi komputer tidak pernah keliru antara
kepintaran buatan dengan kepintaran insan. Maka bagi Noam Chomsky
berdayacipta dengan komputer tidak ubah seperti berseni dengan jentolak.
Joseph Menosky pula mendedahkan dalam jernal Science bahawa ramai
siswazah sains komputer yang tidak memahami prinsip-prinsip tersirat dalam
penulisan program-program bagi komputer. Persatuan Pengguna Pulau Pinang
pula berhujah bahawa pendidikan sebenar harus mementingkan interaksi
langsung antara guru dengan murid, demi kerana contoh teladan ditiru dari
guru bukan alat buatan.
Dalam perlumbaan kita ke arah pembestarian sekolah, kita lupa apa erti
sebenarnya kebestarian lalu utamakan penghasilan daripada pemahaman,
pengutipan daripada pemilihan, penggunaan daripada penciptaan, alam maya
daripada alam nyata. Kini murid tidak payah berpeluh penat berfikir
memeras otak kerana segalanya datang menyembah dengan satu klik pada
tetikus. Akhirnya kita lupa bahawa komputer tidak mendidik tetapi
pendidik; pen tidak menulis tetapi penulis; buku tidak berilmu tetapi
ilmuwan; dan sekolah tidak bestari tetapi guru dan murid yang bestari.
Kita lupa bahawa maklumat hanya bererti membawa makna dalam kerangka
pentafsiran yang sudah tersirat dalam akal penerima maklumat, namun
kerangka kefahaman sedemikian tidak mungkin dimuat-turun daripada
internet. Malah kerangka kefahaman tersebut tercetus daripada dayacipta
guru dan murid yang memang sudah tahu cara bagaimana hendak melayari
lipatan batin akal budi mereka sendiri.
Sebenarnya kemahiran berkomputer tidak perlu didedahkan kepada murid dan
pelajar sehingga di peringkat universiti. Di peringkat pra-universiti yang
perlu ditekankan ialah adab dan tatasusila antara guru dengan murid;
membaca buku bermutu dalam bahasa bermutu oleh pengarang bermutu;
mengarang karangan dan makalah dengan baik; dan berfikir dengan bantuan
kertas dan pen sahaja di samping bertukar fikiran dengan guru dan kawan.
Pendek kata segala kerja yang memaksa otak berkerja keras agar akal dapat
berdiri atas kakinya sendiri tanpa asyik dimanjakan dengan hidangan “ilmu”
yang terpapar di cermin komputer.
Saya sendiri pensyarah di universiti dan saya tahu bahawa
pelajar saya termasuk antara lulusan terbaik sekolah menengah
namun rata-ratanya mereka tidak cekap mengarang membina buah
fikiran dengan baik. Kecekapan mereka terhad kepada kerja
memotong dan menampal lalu menipu saya dengan bahan ciplak
mereka seolah-olah guru mereka itu kerbau tidak tahu menilai
membezakan antara intan dengan batu. Universiti saya berslogan
“taman ilmu dan budi,” tetapi bilik syarahan harus dikunci
setiap kali habis kuliah demi mengelakkan segala peralatan
multi-media yang serba canggih dan mahal itu dilesapkan oleh
sang pelajar sendiri. Jelas, semakin bestari semakin mencuri
dan menipu!
Kini entah berapa bilion wang ringgit yang sudah dilaburkan malah
dibazirkan ke dalam usaha membestarikan sekolah di seluruh negara.
Pelaburan ini sebenarnya penghambaan bukan pemerdekaan, kerana setiap
tahun pelaburan asal terpaksa diperbaharui demi membaiki komputer yang
sering rosak atau “buat hal”, atau menggantikan model lama dengan model
baru, menaik-taraf perisian setiap tahun atau membeli yang baru sama
sekali, di samping menghantar para guru ikuti pelbagai kursus
meningkatkan kemahiran berkomputer. Kini juruteknik dan jurujual pula
sudah tukar jadi pendidik mendidik guru bagaimana hendak mendidik!
Lagipun, apa gunanya kita hidup dalam zaman komputer andaikata pada
penghujungnya kita menyerahkan kebebasan keberdayaciptaan kita kepada alat
buatan kita sendiri lalu alat jadi tuan dan tuan jadi alat? Ya, memanglah
betul bahawa komputer berguna bagi sejumlah kerja yang remeh-temeh seperti
menaip makalah ini umpamanya, tetapi kita seharusnya bertanya setakat mana
sifat kebergunaan komputer itu, dan guna untuk tujuan apa dalam konteks
apa? Para pendidik dan guru sejati yang bertanggungjawab serta menghargai
tugas penting mereka kepada agama dan bangsa tidak akan menyerahkan
persoalan penting ini bulat-bulat kepada Steve Jobs dan Bill Gates serta
jurujual mereka yang kini berselerak di serata dunia.
Adi Setia
(bakal tersiar dalam makalah Visi, IKIM)
Recent Comments